top of page

Soalan Lazim berkenaan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya




1. Berapa berat dadah untuk dipertuduhkan di bawah S.39B ini?


Berat dadah adalah berbeza-beza mengikut jenis dadah untuk dipertuduhkan di bawah S.39B.


Mengikut Seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya, anda dianggap menjalankan aktiviti pengedaran dadah sekiranya dijumpai dalam milikan anda :


· 15 gram atau lebih berat heroin

· 15 gram atau lebih berat morfin

· 40 gram atau lebih berat kokain

· 50 gram atau lebih berat syabu

· 50 gram atau lebih berat ecstasy

· 200 gram atau lebih berat ganja

· 1000 gram atau lebih berat opium

· 2000 gram atau lebih berat daun koka


2. Apakah strategi yang sering diguna pakai untuk membela Orang Kena Tuduh (“OKT”) yang didakwa di bawah S.39B?


Sebenarnya strategi pembelaan untuk kes s.39B adalah amat bergantung pada fakta kes OKT tersebut. Oleh sebab itulah penting untuk anda memberitahu jalan cerita yang sebenar semasa anda ditangkap oleh pihak polis supaya peguam seperti saya boleh membina strategi pembelaan yang sempurna.


Antara hujah yang sering diguna pakai ialah untuk menyangkal anggapan pemilikan dan kawalan eksklusif. Sebagai contoh, sekiranya anda ditangkap di dalam sebuah rumah yang mempunyai 3 bilik tidur dan sebuah tandas. Anda berkongsi rumah tersebut dengan 3 orang rakan serumah yang lain. Dadah jenis ganja seberat 500 gram dijumpai oleh pegawai tangkapan di dalam plastik hitam di dalam pam tandas di dalam tandas rumah tersebut. Maka, ini adalah satu fakta yang amat mustahak bagi pembelaan kes anda untuk menyangkal bahawa anda tiada pemilikan dan kawalan eksklusif terhadap dadah tersebut kerana dadah tersebut dijumpai di dalam tandas rumah yang boleh diakses oleh semua orang di dalam rumah tersebut! Malah, tandas itu juga tidak berkunci sepanjang masa.


Di dalam kes Law Sie Hoe v PP [2014] 6 MLJ 214[1], Mahkamah Rayuan melalui Hakim Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim menjelaskan bahawa:


(1) Pemilik mestilah mempunyai pengetahuan mengenai barang dalam pemilikan beliau;

(2) Pemilik mestilah mempunyai kuasa untuk melupuskan barang tersebut; dan

(3) Pemilik tersebut sedar mengenai pemilikan barang tersebut.


Sekiranya, elemen-elemen di atas tidak ditepati maka tidak boleh dikatakan anda memiliki kawalan dan milikan terhadap dadah tersebut.


3. Baca situasi di bawah:


“Saya ditangkap dan didakwa di bawah S.39B kerana saya tolong kawan saya mengambil barang di Pejabat Pos. Dadah tersebut disorok dalam patung di dalam kotak berwarna coklat. Saya tak tahu di dalam kotak tersebut mengandungi dadah. Selepas tak sampai 2 minit saya mengambil kotak tersebut dari kaunter Pejabat Pos untuk diletakkan ke dalam kereta saya, saya diserbu oleh sekumpulan polis. Saya ditangkap oleh pihak polis dan kemudiannya diberitahu di dalam kotak itu mengandungi dadah.”


Dan saya kerap kali ditanya adakah masih ada harapan untuk kes seperti ini?


Dalam setiap kes, pasti ada kelompangan dan ruang untuk pembelaan. Di dalam kes seperti situasi di atas, peguam akan menghujahkan bahawa anda tidak memiliki pengetahuan bahawa di dalam plastik tersebut mengandungi dadah berbahaya. Bagaimana untuk buktikan anda tiada pengetahuan? Nah, ini bergantung kepada kemahiran peguam untuk memanfaatkan maklumat ini bagi memastikan keadilan terbela untuk anda.


Boleh dihujahkan bahawa anda tiada milikan dan pengetahuan kerana:


1. Anda ditangkap sejurus beberapa minit selepas mengutip kotak tersebut;

2. Anda tidak berpeluang dan tidak sempat untuk memeriksa kandungan kotak tersebut; dan

3. Anda tidak dapat melihat kandungan kotak tersebut daripada luar kerana kotak tersebut bukan lutsinar.


Terdapat satu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di mana jika dadah dijumpai di dalam kotak kurier, maka elemen kawalan dan jagaan tidak dapat dibuktikan.

Di dalam kes Simon Savarimuthu Thevarajah v PP [2020] 2 MLJ 495

Simon Savarimuthu a/l Thevarajah v Public Prosecutor [2020] 2 MLJ 495 Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa[2]:


“4) The appellant could not be said to be in physical possession of the box. He never had access to the box. He was handed the box by SP6. The trial judge erred in finding that the appellant had physical possession or custody of the box. This then raised the question whether the appellant knew of the contents of the box since the prosecution did not lead any direct evidence that the appellant had ordered the bicycle parts and was the owner of the box and its contents. The box was taped and sent from China to the courier company in Malaysia for delivery. At the time the box was delivered to the appellant and when he was arrested, the appellant was not given a chance or opportunity to open and examine the contents of the box. There was no evidence that the appellant had suspicions but deliberately shut his eyes. (paras 38 & 39)


Di dalam kes di atas, perayu telah dijatuhkan hukuman bersalah di Mahkamah Tinggi atas kesalahan mengedar dadah jenis syabu seberat 1,498 gram di bawah S.39B. Perayu merayu terhadap hukuman dan keputusan Mahkamah Tinggi itu ke Mahkamah Rayuan.


Mahkamah Rayuan meneliti semula fakta kes beliau dan memutuskan bahawa beliau tidak dapat dikatakan mempunyai milikan fizikal terhadap kotak itu kerana beliau tidak memiliki kawalan dan jagaan terhadap kotak itu. Adalah mustahil untuk dikatakan beliau memiliki kawalan dan jagaan kerana kotak tersebut datang dari luar negara, dalam keadaan dipita, dan semasa perayu datang untuk mengambil kotak tersebut, perayu tidak sempat untuk membuka dan memeriksa kandungan dalam kotak tersebut. Turut dihujahkan bahawa tidak ada keterangan menunjukkan bahawa perayu mengesyaki kandungan kotak tersebut namun memilih untuk menutup mata sahaja.

[1] Law Sie Hoe v The Public Prosecutor [2014] 6 MLJ 714 [2] Simon Savarimuthu a/l Thevarajah v Public Prosecutor [2020] 2 MLJ 495


Authored by Haziq Aziz


Kindly note that this legal article does not, and is not intended to, constitute formal legal advice by the Firm, instead all information, content and materials available on this site are for general informational purposes only. If readers require further clarification or legal advice, he/she should email office@kevinwuassociates.com.

bottom of page