top of page

PROSIDING PRA-PERBICARAAN DI DALAM KES JENAYAH




A. Permulaan Penyiasatan


Pada asasnya, proses perundangan bagi kes-kes jenayah bermula dengan penyiasatan yang akan dilakukan oleh pihak polis setelah mendapat maklumat berkenaan sesuatu kesalahan jenayah yang dilakukan sebagaimana peruntukan Seksyen 107, Kanun Prosedur Jenayah.


Bagi kesalahan yang boleh ditangkap (seizable offence), pihak polis boleh memulakan siasatan menurut prosedur-prosedur yang digariskan di bawah Seksyen 109 & 110 Kanun Prosedur Jenayah dimana kedua-dua seksyen ini memberi kuasa kepada pihak polis untuk memulakan siasatan bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk menahan individu yang disyaki melakukan kesalahan jenayah tersebut.


B. Permohonan Reman


Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang individu yang ditahan bagi tujuan siasatan perlu dikemukakan ke hadapan Majistret dalam tempoh dua puluh empat (24) jam dan individu yang ditahan tersebut tidak boleh ditahan dalam jagaan selanjutnya tanpa kebenaran Majistret.


Permohonan Reman secara asasnya dibuat apabila sesuatu penyiasatan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh dua puluh empat (24) jam dan pada masa yang sama pihak polis perlu menahan individu tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut.


Berapa lama tempoh tahanan reman?


Seksyen 117 (2)(a) & (b), Kanun Prosedur Jenayah memperuntukan tempoh tahanan reman seperti berikut:-


i. Bagi kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi empat belas (14) tahun, bilangan hari tahanan reman yang maksima adalah selama tujuh (7) hari dimana bagi permohonan kali pertama, bilangan hari reman maksima yang dibenarkan adalah selama empat (4) hari dan bagi permohonan kedua sebanyak tiga (3) hari.


ii. Bagi kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara empat belas (14) tahun dan ke atas atau hukuman mati, bilangan hari tempoh tahanan reman yang maksima adalah selama empat-belas (14) hari. Namun, bagi permohonan kali pertama, tempoh tahanan reman maksima yang dibenarkan adalah tujuh (7) hari dan permohonan kali kedua sebanyak tujuh (7) hari.


Semasa permohonan Jamin dibuat di hadapan Majistret, individu yang disyaki secara kendiri atau melalui Peguambela yang dilantik boleh memohon kepada Mahkamah agar tempoh tahanan reman disingkatkan atau memohon agar permohonan reman tersebut ditolak dengan mengemukakan alasan-alasan yang boleh meyakinkan pihak Mahkamah.


C. Pertuduhan


Apakah yang berlaku setelah tempoh tahanan reman telah tamat?


Dalam keadaan ini, sekiranya siasatan telah dilengkapkan dan Kertas Siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaraya, individu yang disyaki tersebut perlu di bawa ke Mahkamah untuk dibacakan Pertuduhan.


Sekiranya siasatan masih belum lengkap, pihak polis perlu melepaskan individu yang disyaki tersebut dengan Jaminan Polis.


Semasa Pertuduhan dibacakan, orang yang dituduh mempunyai dua pilihan samada untuk mengaku salah atau tidak mengaku salah dan memohon untuk dibicarakan.


D. Jamin Mahkamah


Jamin merupakan pelepasan sementara orang kena tuduh (selepas ini dirujuk sebagai “OKT”) sehingga perbicaraan selesai, dengan mengemukakan jumlah cagaran atau syarat-syarat tertentu yang akan ditentukan oleh Mahkamah dan akujanji penjamin untuk memastikan kehadiran OKT pada setiap hari perbicaraaan.


Permohonan Jamin boleh dipohon oleh OKT atau Peguambelanya (sekiranya melantik Peguam) untuk memohon kepada Mahkamah agar OKT dibenarkan untuk diikat jamin setelah pertuduhan dibacakan kepada OKT.


Namun, permohonan Jamin ini bergantung kepada kesalahan dimana terdapat kesalahan yang boleh dijamin dan kesalahan yang tidak boleh dijamin.


i. Kesalahan boleh dijamin


Seksyen 387(1) , Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan seperti berikut:-


Apabila mana-mana orang selain dari orang yang dituduh dengan kesalahan yang tidak boleh dijamin ditangkap atau ditahan tanpa waran oleh seseorang pegawai polis atau yang hadir atau dibawa ke hadapan Mahkamah dan pada bila-bila masa sama ada dalam jagaan pegawai itu atau dalam mana-mana peringkat perbicaraan mahkamah itu, ia bersedia memberi jamin, makan orang itu hendaklah dilepaskan dengan jaminan oleh mana-mana Ketua Balai atau oleh mana-mana pegawai polis yang pangkatnya tidak rendah daripada Koperal atau oleh Mahkamah itu.


Secara ringkasnya, seseorang individu yang dituduh dibawah kesalahan yang boleh dijamin berhak dilepaskan dengan ikat jamin seperti mana diputuskan di dalam kes Mohd Jalil Abdullah & Anor v Public Prosecutor [1996] 1 LNS 592;


“It must be noted that a person accused of a bailable offence who is detained or arrested without warrant is entitled to bail, as a matter of right and not as a favour. The court or a police officer is bound to comply with this section. A magistrate is not competent to refuse bail unless the law sanctions such refusal


ii. Kesalahan Tidak Boleh Jamin


Secara asasnya, OKT yang dituduh dibawah kesalahan yang tidak boleh di jamin, masih boleh memohon kepada Mahkamah untuk diikat jamin. Namun, kesalahan yang dituduh tidak melibatkan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.


Seksyen 388(1) Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan bahawa kesalahan tersebut boleh dijamin namun bergantung sepenuhnya kepada budibicara Mahkamah. Contoh kesalahan jenayah dibawah Kanun Keseksaan yang tidak boleh dijamin namun masih berpeluang untuk memohon untuk diikat jamin adalah Seksyen 379 (Curi), Seksyen 406 (Jenayah Pecah Amanah) dan sebagainya.


Sila rujuk kes Lim Kiap Khee v Public Prosecutor [1987] CLJ Rep 717 dimana Mahkamah memutuskan bahawa:-


With regard to bail, it is clear that the relevant provision of the law is s. 388 of the Criminal Procedure Code since the applicant was charged with non-bailable offences. In non-bailable cases bail is at the discretion of the Court and in exercising its discretion the Court must consider the gravity of the crime.


Siapa boleh menjadi Penjamin?


Antara syarat-syarat untuk menjadi seorang Penjamin adalah seorang dewasa yang melebihi had umur 18 tahun keatas, berkemampuan mengemukakan jumlah ikat jamin dan menandatangani bon jaminan dan apa-apa syarat lain yang ditetapkan oleh Mahkamah.


Tanggungjawab Penjamin.


Penjamin perlu sedar bahawa tugas seorang penjamin cukup penting dimana penjamin perlu memastikan kehadiran OKT ke mahkamah pada tarikh dan masa yang ditetapkan oleh Mahkamah. Sekiranya OKT tidak hadir ke Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan, penjamin perlu hadir ke Mahkamah untuk menjelaskan ketidakhadiran OKT pada tarikh tersebut bersama-sama bukti/dokumen sokongan.


Wang jaminan boleh dilucutkan


Jika penjamin gagal memenuhi syarat jaminan yang ditetapkan di dalam bon jaminan dan/atau alasan yang diberikan di atas ketidakhadiran OKT adalah tidak meyakinkan, Mahkamah boleh melucutkan wang jaminan tersebut.


E. Kesimpulan


Artikel ini ditulis bagi menerangkan secara ringkas prosedur dan proses undang-undang yang perlu dilalui pada peringkat pra-perbicaraan bagi memberi gambaran awal berkenaan proses undang-undang bagi memudahkan orang yang ditahan atau ahli keluarga orang yang ditahan untuk membuat persediaan serta mendapatkan khidmat guaman seawal mungkin.


Autoriti-autoriti yang dirujuk:-


i. Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan;

ii. Kanun Prosedur Jenayah;

Seksyen 107;

Seksyen 109;

Seksyen 110;

Seksyen 117 (2)(a) & (b); dan

Seksyen 387(1)

iii. Kanun Keseksaan:

Seksyen 379;

Seksyen 409


Kes-kes yang dirujuk:-

i. Mohd Jalil Abdullah & Anor v Public Prosecutor [1996] 1 LNS 592;

ii. Lim Kiap Khee v Public Prosecutor [1987] CLJ Rep 717


Authored by Zarul Farrid


Kindly note that this legal article does not, and is not intended to, constitute formal legal advice by the Firm, instead all information, content and materials available on this site are for general informational purposes only. If readers require further clarification or legal advice, please email office@kevinwuassociates.com.

bottom of page